Sunday, May 15, 2016

Cerpen: Terima Kasih Cikgu

Cerpen ini pernah tersiar dalam Majalah Anis keluaran Jun 2014.


Pagi Ahad itu seperti pagi-pagi yang lain juga. Cikgu Ahmad keluar ke pekan untuk membeli roti canai bungkus untuk sarapannya dan isteri, dan juga suratkhabar. Dan seperti pagi-pagi yang lain jika dia ke pekan, dia tidak putus-putus disapa. “Assalamualaikum, cikgu!” Dia menjawab salam-salam yang dihulur dengan senyuman yang mesra. Alhamdulillah, dia berasa cukup bertuah diraikan sebegitu. Tidak hairanlah, setelah hampir dua dekad mengajar di situ, lebih separuh penduduk di mukim itu dikenalinya. Sama ada dia pernah mengajar mereka, atau pernah mengajar anak mereka.


Tetapi gaya lelaki di kedai roti canai itu lain sedikit. Sewaktu Cikgu Ahmad sedang beratur di kaunter bayaran, lelaki itu datang merapati dan menegurnya dengan teragak-agak. “Cik … cikgu? Cikgu … Ahmad?” Cikgu Ahmad mengiyakan. “Saya.” Dia tersenyum dan bergerak untuk beredar setelah melunaskan pembayaran. Tetapi tiba-tiba sahaja lelaki itu mendakapnya erat. “Cikgu!” Cikgu Ahmad terkesima sebentar. Ada juga perasaan sedikit janggal dipeluk lelaki yang tidak dikenali itu. Siapakah dia? Kemungkinan besar, lelaki itu bekas anak muridnya juga. Dia tidaklah dapat mengingat wajah kesemua mereka. Tapi barangkali sudah lama, berpuluh-puluh tahun dahulu.


Setelah lelaki itu melepaskan dakapannya, barulah Cikgu Ahmad berpeluang melihat wajahnya dengan lebih jelas. Lelaki itu memegang tangan Cikgu Ahmad sambil berkata dengan suara sedikit bergetar, “Cikgu, sudah lama saya cari cikgu! Alhamdulillah. Gembiranya saya dapat berjumpa cikgu pada hari ini!” Pada pipinya, ada kesan air mata yang mengalir.


Dan segalanya muncul kembali di benak memori. Cikgu Ahmad memaut bahu lelaki itu dan memeluknya erat. “Murad!”


***


Tuk tuk tuk tuk! Pintu diketuk teragak-agak. Pintu kayu itu kelihatan uzur dan rapuh, sama seperti keadaan keseluruhan rumah kecil itu. Jika diketuknya kuat-kuat, barangkali boleh patah agaknya.


“Assalamualaikum!” Beberapa saat berlalu, masih tiada jawapan.


Cikgu Ahmad mencuba lagi, kali ini menambahkan kelantangan suaranya. “Assalamualaikum!”


Pintu dikuak perlahan. Wajah Murad muncul di sebalik daun pintu, dan sebaik terlihat Cikgu Ahmad yang sedang berdiri di luar rumahnya, riaknya bertukar jadi cemas dan ketakutan.  Dia kaku dan terdiam, tidak pasti apa yang harus dilakukannya.


Cikgu Ahmad bersuara dari luar, tidak menunggu dijemput masuk. “Murad, sudah dua minggu lebih kamu tidak datang ke sekolah. Kamu ada apa-apa masalahkah?”


Murad teragak-agak. “Saya … saya … .”


Dengan tidak semena-mena tubuh Murad direntap kuat ke belakang. Terperanjat Cikgu Ahmad dibuatnya. Dia meluru masuk ke dalam rumah.


“Apa? Kau ponteng sekolah? Mari sini ayah nak ajar!” Zap! Zap! Libasan tali pinggang hinggap pada tubuh Murad. Lelaki bertubuh besar itu sedikit terhuyung-hayang, namun libasannya tetap berbisa. Cikgu Ahmad merapati lelaki itu, risau akan keadaan Murad. Cikgu Ahmad lihat mata lelaki itu merah, dan nafasnya berbau masam dan busuk. Dia mengerutkan wajahnya dan tindakan refleks membawa tangannya menutupi hidungnya.


“Kau malukan ayah ya? Ambil lagi!” Zap! Zap! Murad diam tidak menjawab, tetapi wajahnya berkerut menahan sakit.


Cikgu Ahmad menangkap tali pinggang yang dihayun oleh ayah Murad. “Cukup!” Suaranya tegas. “Bukan … begini … cara … didik … anak!” Sebutir demi sebutir perkataan yang keluar daripada mulutnya. Giginya digetap rapat. Cikgu Ahmad sedang menahan amarahnya. Dia memang pernah dengar khabar angin tentang sikap buruk ayah Murad itu, tetapi kali ini dia telah lihat dengan mata kepalanya sendiri.


“Sudah!” ujarnya. “Murad, kamu ikut cikgu sekarang.”


“Se … sekarang? Nak saya tukar baju dan ambil beg sekolahkah?” tanya Murad.


“Tak perlu.”


Murad terus sahaja keluar mengikuti Cikgu Ahmad tanpa berkata apa-apa kepada ayahnya. Mereka masuk ke dalam Proton Saga milik Cikgu Ahmad dan kereta itu beredar dari situ.


Beberapa minit kemudian, Murad tersedar akan sesuatu. “Eh, cikgu, ini bukan jalan ke sekolah! Kita nak ke mana?” Cikgu Ahmad baru bekesempatan mendengar suara Murad baik-baik. Sudah hampir pecah, tidak lama lagi anak ini akan meningkat remaja. Dia harus lekas bertindak sementara anak ini masih boleh dilentur!


Cikgu Ahmad tidak sempat menjawab kerana mereka sudah tiba ke destinasi. Dia meletakkan keretanya di bahu jalan dan membuka but belakang. “Mari, Murad!”


Murad terpinga-pinga menyambut joran pancing yang dihulurkan oleh Cikgu Ahmad. “Cikgu, saya sedang mimpikah?”


Cikgu Ahmad tergelak. “Tidak, Murad. Memang cikgu nak ajak kamu pancing ikan di tasik ini.”


Mereka duduk bersebelahan dengan bekas umpan dan bekas kosong di antara mereka. Sambil tangan mereka teguh memegang joran, Cikgu Ahmad mula bersembang-sembang dengan anak muridnya itu, mengharapkan agar hatinya sedang terbuka untuk menerima nasihat.


“Datanglah ke sekolah, Murad.” Ringkas sahaja pembuka bicara Cikgu Ahmad.


“Apa gunanya saya pergi sekolah, cikgu. Bukan ada sesiapa yang kisah.”


“Cikgu kisah. Sayang kalau kamu tak datang ke sekolah, Murad. Pendidikan dan ilmu akan jamin masa depan kamu.”


“Masa depan apa? Saya mana ada masa depan. Cikgu dah tengok sendiri ayah saya macam mana. Macam mana saya nak berjaya kalau setiap hari menghadap dia?”


“Jangan jadikan ayah awak sebagai alasan, Murad. Pilihan ada di tangan kamu. Kenapa tidak kamu jadikan ujian yang Allah berikan kepada kamu ini sebagai pembakar semangat supaya kamu dapat bina hidup yang lebih bahagia, lebih berjaya?”


Murad tidak berkata apa-apa buat seketika. Barangkali dia sedang memikirkan apa yang baru diperkatakan oleh Cikgu Ahmad.


“Saya tak suka pergi ke sekolah, cikgu. Bosanlah dalam kelas. Lagi pun, ada budak yang suka mengejek saya. Dia kata ayah saya kaki botol! Saya marah, saya pun nak pukul dia.”


Cikgu Ahmad maklum akan kes pergaduhan Murad tempoh hari. Murad memang lekas naik berang, barangkali akibat terlalu kerap melihat contoh di rumah sendiri. Dia sudah dilabelkan sebagai pelajar bermasalah di sekolah. Tetapi Cikgu Ahmad lain pendapatnya. Memang Murad ada masalahnya, tetapi dia masih boleh dibantu, malah dia amat perlu dibantu!


“Lepaskan sahaja. Pilihan ada di tangan kamu. Kamu boleh pilih untuk abaikan perkara-perkara negatif yang mereka kata pada kamu, atau kamu pilih untuk biarkan ia mempengaruhi kamu.  Pilih untuk bersikap lebih matang, Murad, sehingga kamu dapat kawal perasaan kamu.”


“Cakap senanglah.”


“Bukan senang, Murad. Bukan boleh terus berubah tiba-tiba, tapi mesti ada langkah pertama. Mesti ada azam, mesti ada usaha.”


Murad diam lagi.


“Kamu budak baik, Murad. Kamu budak bijak. Cikgu nak tengok kamu berjaya.”


Murad begitu tersentuh mendengar kata-kata cikgunya. Ada juga insan yang mengambil berat dan percaya akan kebolehan dirinya.


Bekas kosong di antara mereka sudah diisi air tasik dan dipenuhi berbelas-belas ekor ikan kelah dan ikan kaloi.


“Cikgu, kita nak buat apa dengan ikan-ikan ini? Nak makankah?” tanya Murad.


“Kita nak bela.”


“Bela? Di mana?”


***


“Kolam kecil di tepi surau sekolah. Itulah rancangan abang.” Cikgu Ahmad sedang membincangkan hal yang penting dengan isterinya sewaktu makan malam. “Di sekelilingnya boleh ditanam dengan tumbuh-tumbuhan hiasan atau yang boleh dimakan. Macam taman sains mini.”


“Menarik bunyinya, abang. Abang pun memang minat taman kan? Tapi, siapa yang akan tolong abang jaga?”


“Abang sudah kenal pasti beberapa orang pelajar. Abang akan lantik Murad jadi ketuanya. Mah ingat kan, abang pernah cerita pasal dia? Abang tengok dia minat kerja-kerja berkebun ini.”


“Bahan-bahan nak dibuat kolam dan taman ini, dibeli dengan duit sekolah?”


“Ha, itulah yang abang nak bincang dengan Mah ini. Abang sudah bincang dengan pengetua. Abang cadangkan supaya kita guna bajet keceriaan sekolah. Tapi sayangnya, bajet itu sudah habis diperuntukkan untuk projek mengecat semula bangunan sekolah. Pengetua sokong idea abang ini, tapi dia tidak cukup bajet. Dia kata dia akan cuba mohon bajet tambahan, tapi … Mah tahu-tahu sajalah, biasanya makan masa berbulan-bulan juga prosesnya. Entah-entah tahun depan baru dapat.”


Cikgu Ahmad menyambung, “Jadi, abang ingat nak pakai duit gaji abang sajalah. Mungkin berhabis dalam tiga empat ratus juga. Mah tidak kisah kan? Kalau ada rezeki sekolah dapat bajet tambahan, mungkin abang boleh minta ganti.”


Isterinya terdiam sebentar. Barangkali sedang mencongak-congak jumlah perbelanjaan bulan itu. Mereka belum punya anak, tetapi anak pertama yang sedang dikandung perlu juga disiapkan keperluannya.


“Abang teruskanlah niat abang itu. Mah sokong. Insya-Allah sempat lagi nak beli barang-barang bayi bulan depan.” Isteri Cikgu Ahmad tahu benar sikap suaminya itu. Bagi Cikgu Ahmad, tugas mendidik anak-anak muridnya  bukan sahaja sebagai tanggungjawab, malahan menjadi satu perjuangan yang digalasnya dengan rasa bersemangat. Bukan sekadar memindahkan ilmu akademik di dalam kelas, tetapi juga mendidik anak bangsa agar menjadi insan!


Tiba-tiba telefon rumah berdering. Cikgu Ahmad bingkas bangun dan membasuh tangannya dahulu sebelum mengangkat telefon.


Apabila dia kembali duduk untuk menyambung makannya yang terganggu tadi, wajahnya tersenyum dan bercahaya.


Isterinya bertanya, “Siapa tadi, bang? Ada apa?”


Cikgu Ahmad menjawab, “Kebetulan kita sedang cakap pasal hal ini. Pengetua yang telefon, dia kata ada bapa yang mahu taja kos cat, jadi ada bajet cukup untuk kolam dan taman yang abang cadangkan!”


Isterinya tersenyum riang. “Alhamdulillah!” Rezeki Allah banyak yang datang dari sumber yang tidak disangka-sangka.


***


Murad menggemburkan tanah tiga kaki dari kolam ikan dan mengorek satu lubang sederhana kecilnya. Dia mengambil tanah hitam dalam beg plastik dan menaburkannya dalam jumlah yang agak banyak sebelum menyiram pula dengan air. Kemudian, Murad mengambil pohon dalam beg semaian dan meletakkannya elok-elok di dalam lubang tadi. Tanah hitam diambil lagi dan digunakan untuk mengejapkan tanah di sekitar pohon. Pohon itu daunnya lebar-lebar dan berwarna sedikit kemerah-merahan. Murad pun tidak pasti apa namanya, yang dia tahu tumbuhan itu cantik dan tidak susah dijaga. Kata Cikgu Ahmad, namanya philodendron. Murad mengingatkan dirinya supaya mencari maklumat tentang philodendron dan cara terbaik menjaganya.


“Semakin cantik taman kamu, Murad!” Suara Cikgu Ahmad kedengaran dari belakang. Dia mencangkung di sebelah Murad dan membantu menyiram pokok yang baru ditanam.


Murad tersenyum bangga. Setelah tujuh minggu, taman mini yang diusahakannya bersama Devi, Adam dan Syahrul sudah hampir menyerupai lakaran kasar pada kertas hasil buah fikiran mereka sebelum bermula. Siapa sangka, pelajar-pelajar yang tidak berpengalaman berkebun pun boleh menghasilkan taman yang indah itu. Petang-petang selepas sekolah, di situlah tempat mereka menghabiskan masa. Tidak semua yang datang setiap hari, tetapi Muradlah yang paling setia mengotorkan tangannya dan menumpahkan peluh keringat.


“Terima kasih, cikgu, sebab beri saya peluang untuk buat taman ini,” ujar Murad.


“Cikgu nampak minat kamu ada di sini, sebab kamu banyak bertanya bila kita belajar bab tumbuh-tumbuhan,” balas Cikgu Ahmad. “Kebolehan setiap kita ini berbeza. Ada yang lebih mahir dengan kepalanya, ada yang lebih mahir dengan tangannya. Nampaknya, bakat kamu pandai berkebun.”


“Saya suka buat kerja ini, cikgu. Mungkin saya patut jadi tukang kebun apabila habis sekolah nanti!”


Cikgu Ahmad menghela nafas seketika. “Murad, tukang kebun itu memang satu pekerjaan yang baik dan mulia, tapi usah hadkan diri kamu kepada satu pilihan sahaja. Cuma kamu fikirkan dan kaji, apa lagi yang kamu boleh buat dengan minat dan kebolehan kamu ini.”


Dia menyambung lagi, “Itulah yang cikgu hendak cakap dengan kamu. Cikgu gembira sebab kamu sudah tidak ponteng sekolah lagi. Tapi cikgu tengok, keputusan peperiksaan kamu baru-baru ini tidak jauh beza pun dengan dahulu. Ingat apa yang cikgu pernah cakap dulu, pendidikan dan ilmu penting untuk masa depan? Nabi Muhammad pun pernah kata, hendak berjaya di dunia perlukan ilmu, hendak berjaya di akhirat perlukan ilmu.”


Murad diam sahaja. Dia tidak suka dileteri begitu. Tapi, ini Cikgu Ahmad. Cikgu itulah yang paling dia hormati dan sayangi. Dia mahu dengar nasihat Cikgu Ahmad. Dia mengangguk dan meneruskan kerja-kerjanya.


***


“Cikgu! Sudah lama saya mencari cikgu. Waktu mula-mula cikgu dipindahkan ke sekolah lain dahulu, sempat juga kita berutus surat sepucuk dua. Tetapi selepas cikgu ditukarkan sekali lagi, langsung tidak tahu saya cikgu sudah ke mana. Yalah, zaman dulu bukan ada telefon bimbit dan internet.”


Cikgu Ahmad memerhatikan wajah lelaki di hadapannya. Dengan kumis nipis menghias wajah, kedut-kedut halus yang mula muncul, Murad sudah berubah rupa. Namun riak wajahnya, cara dia bercakap masih seperti dahulu. Benarkah sudah lebih tiga puluh tahun telah berlalu? Cikgu Ahmad menggeleng-gelengkan kepala, seakan tidak percaya.


“Sampai ke Kementerian Pendidikan saya telefon hendak cari cikgu,” sambung Murad lagi.


“Alhamdulillah. Kita sempat jumpa kembali. Kamu menetap di mana sekarang, Murad?” tanya Cikgu Ahmad.


“Shah Alam. Jemputlah datang ke rumah saya, cikgu.”


Cikgu Ahmad mengangguk-angguk kecil. Jauh juga perjalanannya dari situ, lebih tiga jam barangkali.


“Ayah kamu, apa khabar?”


“Dia … ada tinggal dengan saya, cikgu. Dia … okey sekarang.”


“Alhamdulillah, syukur.” Ringkas jawapan Cikgu Ahmad. Dia lihat Murad sedang meninjau halaman rumahnya. Elok juga ada bangku batu di luar rumah, selesa melayan tamunya di situ. Dia memang senang duduk-duduk di luar sambil menghirup udara segar. Sebab itulah lekas diajaknya Murad ke rumahnya, bersarapan di laman rumah sahaja.


“Cantik laman rumah cikgu. Saya suka koleksi bunga orkid yang cikgu gantung pada pergola itu.”


Cikgu Ahmad tersenyum. Murad masih minat bidang landskap rupanya.


“Cikgu, kalau cikgu tidak kisah, saya mahu tambah sedikit lagi di sudut ini. Cikgu ceritakan pada saya, apa yang cikgu suka, saya akan usahakan. Itu sahajalah yang dapat saya hadiahkan untuk cikgu.”


“Tak mengapa, Murad. Tak payah susah-susah.”


“Tak susah, cikgu. Memang kerja saya. Lagi pun, saya suka kalau ada sesuatu yang boleh ingatkan cikgu kepada saya. Cikgu jangan risau tentang penjagaan lanjutan. Saya akan minta pekerja saya datang setiap minggu untuk uruskan.”


“Dari Shah Alam?”


“Eh tidak, cikgu. Cawangan terdekat di Ipoh sana cikgu.”


Cikgu Ahmad senyum lagi. “Baik, cikgu suka.”


“Cikgu … .” Murad bermula, tapi terhenti tiba-tiba. “Terima kasih, cikgu. Saya masih ingat dengan jelas hari itu … waktu cikgu datang ke rumah saya. Saya …” Dia terdiam, sedikit sebak barangkali. “Cikgu … cikgu telah berikan saya harapan pada saat saya paling memerlukannya. Hidup saya berubah kerana cikgu!” Terluah jua apa yang hendak disebutkan oleh Murad.


Cikgu Ahmad menggenggam tangan Murad. Dia senyum, dan menggangguk. Dia juga sebak, tidak tahu hendak berkata apa. Dia membantu murid-muridnya dengan ikhlas, tidak pernah mengharapkan balasan selain daripada Yang Maha Esa. Tetapi, mendapat tahu bahawa penat lelahnya selama ini ada impaknya, merupakan satu kegembiraan yang tidak ternilai baginya. Dia rasa puas!

No comments:

Post a Comment